Archive for the :: Novel & Cerpan :: Category

Tangisan dalam senyuman (naluri seorang umi)

Posted in :: Novel & Cerpan :: on Mac 24, 2009 by alumnimatmiiumbatch

kartun-cun
Ana tidak salahkan Umi. Umi ada sebab berkelakuan begitu.

Umi sayang anak-anak, khususnya Ana. Kalau ditanya, siapakah manusia yang paling Ana sayang, tentu jawapannya Umi. Malah, jauh berkali-kali ganda daripada Walid.

Ana tidak tahu apakah peranan Walid sehingga Ana boleh dilahirkan. Walid keluar pagi dan pulang petang. Ketika Walid sampai di rumah, bajunya berpesuk-pesuk dan lecap dengan peluh.

Walid suruh Umi pasangkan kipas sehingga nombor lima. Sambil bersandar ke kerusi rotan, Walid arahkan Umi membawa air sejuk segelas. Kemudian, Walid pasang hidupkan api rokok, lalu menghisap dalam-dalam dan melepaskan asap ke udara. Berpual-pual wap putih bertebar ke ruang tamu. Walid berehat pulas di kerusi rotan, sedang Umi kembali ke dapur menyambung kerja suri yang bertimbun.

Ketika itu, jangan harap abang dan kakak hendak bermanja dengan Walid. Kalau kena tengking pun sudah bersyukur kerana tangan Walid lebih ringan daripada kain lampin Ana. Ana sendiri pun tidak berani mengacah Walid ketika itu. Lebih baik Ana berondok dalam buaian.

Walid tidak banyak menghabiskan masa dengan Ana. Kalau Umi, Ana sentiasa berada hampir dengannya sepanjang hari melainkan waktu tidur.

Waktu berhempas-pulas keluar dari pintu sempit metah, Ana menangis melihat dunia luas terbentang. Dulu, Ana sangkakan dunia ini hanya sebungkus kulit tipis yang berisi cecair pekat. Cecair ini melindungi seluruh jasad Ana. Ana tiada siapa untuk berbual-bual melainkan Adik.

Oh ya. Dalam dunia sempit itu, Ana ada Adik. Sebenarnya Ana tidak tahu namanya. Begitu juga Adik tidak tahu nama Ana. Malahan, Kami sendiri tidak tahu nama masing-masing. Entah macam mana, Kami bersepakat; Ana panggil dia Adik, manakala dia pula gelar Ana sebagai Abang.

Kami hanya bergerak-gerak sedikit dalam lingkungan cecair pekat itu. Masing-masing ada tali di perut yang bersambung ke dinding tipis itu. Kami mengagak tali itu tentulah bersambung dengan benda besar yang melindungi Kami. Benda besar itu, Kami gelar Umi. Jangan tanya bagaimana Kami mendapat panggilan itu kerana Kami sendiri tidak tahu. Gelaran itu diendus ke hati Kami sehingga Kami yakin dengan Umi.

Begitulah kehidupan Kami. Lama-kelamaan, Kami berasa sayang akan Umi. Kami yakin Umilah segala-galanya bagi Kami. Tentulah, tanpa Umi tiadalah Kami. Kami yakin suatu hari Kami akan keluar dan berjumpa Umi seperti yakinnya Kami betapa Tuhan yang meniupkan roh Kami. Jangan tanya juga bagaimana Kami ketahui wujudnya Tuhan, kerana keyakinan itu datang secara fitrah. Tentu sukar memahami dunia Kami. Dunia Kami sempit, tetapi misterinya tidak dapat ditemui.

Kami semai keyakinan itu betapa setelah Kami bersua wajah dengan Umi, kasih sayang kami makin bercambah dan subur. Adiklah paling kerap mengangan-angankan pertemuan itu.

Hinggalah suatu hari, Kami dengar suara gamat di luar. Ada dua suara, satu milik Umi, manakala yang gasang dan kasar entah milik siapa. Suara Umi juga tinggi tetapi Kami dapat rasakan hati Umi sebak. Kami berkongsi perasaan dengan Umi. Malah, Ana, Adik dan Umi seperti satu.

Halai-balai di luar berlangsung lama. Tiba-tiba, dunia Kami dihentam, gasang dan kuat. Dunia Kami lindu. Cecair pekat berkucah. Umi menjerit kesakitan. Adik bungkam. Ana rasa Adik cuak dengan bising dan hentaman tadi.

Sejak itu, Adik tidak pernah bercakap lagi. Apa jua Ana pujuk, Adik tidak pernah membalasnya.

Masa berlalu, tetapi tidaklah terlalu lama. Sehinggalah suasana sepi berubah. Ana fikir dunia Kami akan dihentam sekali lagi. Ana berdoa, moga-moga Adik akan bercakap semula selepas ini.

Kali ini lebih aneh. Kedudukan Ana berpusing ke bawah. Cecair sekeliling berkucah lagi, tetapi semakin berkurang. Dunia Kami bocor! Ana melihat ada pintu sempit metah dan Ana terdorong menelusinya. Saat itu tetal dengan kesakitan. Ana terseksa. Tentu Adik yang membisu itu juga terdera. Malah, Umi lebih-lebih lagi menjerit kesakitan.

Usai kesakitan melalui pintu sempit, Ana tergegau metah. Dunia berubah. Dunia Kami luas sebenarnya! Ana pun menangis.

Lama Ana menangis sebelum terkedu. Tahu kenapa? Ana dipeluk dan dicium. Ana memetia manusia baru yang Ana soroti ini. ‘Ini Umi!’

Ana gembira bertemu Umi, tetapi Ana sedih kerana Adik tiada bersama-sama. Entah ke mana Adik menghilang. Umi juga tidak pernah menyebut tentang Adik. Cuma Ana rasa ada sesuatu yang disembunyikan Umi. Bukankah Kami berkongsi rasa?

Justeru, Ana tetap menyayangi Umi. Biarpun tanpa Adik, Ana tahu kasih Adik begitu jua.

Antara Ana dan Umi, kehidupan Kami berterusan. Sehingga ke hari ini, Ana tetap menghirup kehidupan melalui Umi. Ana tetap menyusu dari sumur Umi biarpun Ana sudah mula mengemam makanan lembut yang Umi suapkan.

Walid? Seperti yang Ana katakan, kehidupan Kami terlalu nadir. Walid hadir di sisi hanyalah apabila malam menjelma. Itupun boleh dibilang jari kerana Walid segera keluar dari rumah dan pulang kembali apabila ayam jantan mula berkokok. Ibulah yang terpaksa terpisat-pisat membuka pintu dan menerima herdikan Walid.

Ana mengerti hati Umi didera. Biarpun, Umi sering tersenyum dan memanjai Ana, hatinya tercalar panjang dan dalam. Hati Ana dijentik pedih merasai galur luka yang lama terukir. Hanya Ana tidak dapat menyatakan perasaan itu kerana Ana tidak upaya berbicara bahasa Umi.

Kalaulah ada Adik, tentu hati Adik berlarah luka. Bukankah Ana, Adik dan Umi berkongsi rasa sejak dunia sempit dulu. Walid datang kemudian, tetapi dengan wajah guram dan derita.

Malah, pernah terlintas dalam hati Ana, Walid ada kaitan dengan peristiwa yang meragut suara Adik. Diam-diam, Ana menjalur dendam. Adik hilang suara kerana Walid. Adik ghaib dalam hayat Ana kerana Walid.

Paling utama, Umi tidak pernah selesa dengan kewujudan Walid dalam dunia Kami. Umi merentan hati dengan Walid.

Umi didera perlakuan Walid. Tangan Walid lebih ringan daripada kain lampin Ana, tetapi tamparan yang singgah ke wajah redup Umi tentu seperti waja. Bahkan Walid pernah menendang Umi kerana lambat membuka pintu. Umi terhunyung hayang dihentam kaki Walid. Hati Anab ergegar. Pantas Ana terlintas peristiwa kehilangan Adik.

Tentulah perlakuan Walid menggigit jiwa Umi. Tetapi hati Ana merisik, masih ada sebab lain membibit dendam Umi. Gasang lebih besar daripada tamparan dan terajang Walid sehingga Umi mengendus dendam dalam diam. Dendam Umi seperti api menjalar dalam sunyi sekam.

Sewaktu malam, ketika Ana terkebil-kebil di katil kecil dan Umi berbaring di ranjangnya, sering Ana terdengar tangisan Umi menggigil dalam gelita. Esak Umi tertahan-tahan menggeletar dalam dingin. Barangkali Umi tidak mahu mengejutkan Ana.

Dalam tangisan itu, Umi menyebut nama Ana. Sering pula dirangkai dengan nama lain yang hampir serupa nama Ana. Telinga Ana digigit nama Walid dilontar Umi dengan pedih. Sejak itu, Ana meyakini ada dendam semakin menanah dalam hati Umi.

Sayang Ana bersama Umi. Dendam menjalar kepada Walid.

Justeru, apa jua perilaku Umi, Ana tetap menyayanginya. Hati Ana memahami dendam marak dalam sunyi itulah musabab peristiwa ini. Peristiwa mengejut metah. Malah, lebih penting membongkar dendam Umi yang terlipat dalam senyuman tipis di bibirnya.

Tegar, Ana tetap memaafkan Umi.

Di luar rumah, udara berbahang. Matahari terik menggigit manusia. Entah mengapa cuaca hari ini berapi. Hari-hari sebelum ini juga panas tetapi tidak memuncak seperti hari ini. Seperti dendam Umi yang sebelum ini membakar perlahan-lahan, cuma marak pada hari ini.

Di dalam rumah, udara berkuam. Sungguh Ana tidak selesa di dalam buaian. Mujurlah Ana tidak berbaju. Peluh membasahi seluruh badan Ana. Lampin lencun. Ana mula menangis.

Walid sudah lama keluar. Pagi-pagi lagi selepas bertengkar dengan Umi. Kali pertama dalam hidup, Ana mendengar Umi meminta cerai. Ana sendiri tidak mengetahui maknanya. Hanya Ana mengerti bahawa Umi mahu Walid pergi daripada kehidupan Kami. Atau pun barangkali yang lebih tepat, Umi meninggalkan Walid.

Walid meradang. Pasti, radang itu hadir bersama kaki dan tangannya. Umi seperti hilang ingatan. Walid semakin gasang. Suasana semakin panas meskipun fajar baru usai dan matahari mula bergeliat di dada langit.

Dendam Umi meletup. Ana mula mengetahui tentang hentaman yang memisahkan Ana dengan Adik dalam dunia kecil Kami dulu. Umi membongkar dendam itu.

“Kau pembunuh anakku!”

Hati Ana bergegar. Ana menangis. Jasad Adik hadir di mata Ana. Wajah suram Umi menggilir pula datang. Wajah redup menyimpan dendam sekian lama yang terguris di hati. Wajah Walid, gasang menerpa serentak hentaman peristiwa silam yang meragut suara Adik daripada hidup Ana di dunia kecil dan jasad Adik di dunia luas ini.

Benar, terajang Walid meragut Adik. Walid tidak menyedari kerana emosi Walid memuncak panas. Umi tidak merasai kehilangan Adik kerana Ana masih bergerak-gerak dalam dunia sempit itu.

Setelah puas memukul Umi, Walid pun keluar dari rumah.
Ummi berteriak, “Pergilah ke rumah betina itu! Berambus dari kehidupan aku!”

Sungguh, itulah kali pertama Ana mendengar suara Umi segasang itu. Umi tidak pernah menaikkan suara, biarpun Walid menaikkan tangan. Umi tidak pernah sekasar itu, biarpun Walid menggasang jasad Umi.

Setelah Walid hilang dari pandangan, Umi menyendiri di kamar. Abang dan kakak yang terkejut dengan pertengkaran seawal pagi itu berpelukan sesama sendiri di tepi buaian Ana. Ana menangisi pemergian Adik dan bingung dengan perubahan Umi. Rumah Kami jauh dari jiran untuk mereka merasai bahang pada pagi itu.

Suasana sepi sekian lama. Matahari semakin memanjat langit. Ana hampir terlelap dalam kelaparan dan kebasahan. Sejak pagi, belum ada sesuatu pun masuk ke dalam perut Ana. Umi terlalu sibuk dengan kesendiriannya dalam kamar. Abang dan kakak masih kebingungan di tepi buaian Ana. Seperti yang Ana katakan, cuaca hari ini panas metah.

Hanya kemudian, Kami dikejutkan suara Umi menjerit-jerit dalam kamar. Bunyi halai-balai dari kamar Umi. Abang dan kakak terkejut. Saya juga tergegau metah. Umi keluar dari kamar dan terus ke dapur dalam pakaian tidak terurus.

Abang dan kakak ketakutan berlari ke luar. Ana? Tentulah dalam keadaan merangkak hanya berondok dalam buaian. Malah, andai Ana boleh berlari sekali pun, Ana tidak akan berlari kerana bukankah Kami berkongsi rasa?

Umi muncul di depan Ana dengan pisau di tangan. Umi mengenjut buaian perlahan. Umi menyanyi. Nyanyian Umi perlahan tetapi menggetis hati. Lagu Umi duka, tersirat dendam yang terkumpul. Ana tidak mengerti apa yang berlaku pada Umi.

Umi seperti bukan Umi lagi. Umi seperti manusia asing yang jauh dari Ana. Umi bukan seperti yang Ana kenali atau seperti yang Adik angan-angankan dalam dunia sempit dulu.

Umi berwajah aneh. Tangan Umi menggeletar dan pisau mengigil. Umi melutut, menyorot wajah Ana. Aduh, sinar mata Umi seperti matahari di luar, tajam menggigit pandangan.

Panas semakin berkuam dalam rumah. Ana mencari-cari hati Umi. Barangkali hati Umi wajib diendus sayang Ana. Cuma, Ana tidak menemui letak hati Umi sekarang. Benarlah, Umi bukan seperti Umi lagi.

“Walidmu yang memisahkan adikmu. Maafkan Umi kerana tidak menyedari kehilangan kembarmu melainkan setelah diberitahu doktor. Bidan yang menyambut kelahiranmu terpaksa merujuk Umi ke hospital. Mereka membedah Umi dan mengeluarkan adikmu. Tuhan, Walidmu pembunuh anak sendiri.”

Hati Ana sayu. Adik diam bukan kerana kehilangan suara. Adik membisu kerana Adik sudah tiada bersama-sama Ana. Sekian lama Ana memujuk jasad tanpa roh. Ana kehilangan Adik lebih awal daripada Ana menyedari kehilangannya.

Umi kembali menyanyi. Pedih sekali lagu Umi. Luka di hati semakin terkuak.

“Marilah sayang. Marilah kita bertemu adikmu. Biar kita bertiga sama-sama menyanyi di dunia lain. Kita bertiga di dunia sempit tetapi selesa berbanding dunia sekarang yang luas tapi penuh derita. Mahu sayang?”

Ana pun menangis. Ana tidak tahu musababnya. Barangkali ingatan terhadap Adik. Barangkali juga melihat Umi tidak seperti Umi lagi. Tidak mustahil kerana dendam Umi dan Ana. Semuanya berkumpul, seperti Ana, Adik dan Umi bersatu.

“Biarlah kita bertiga, Ikbal, Ikmal dan Umi….”

Ketika itu, Ana berasa pedih di leher. Dendamkah itu yang mengguris Ana? Dunia luas itu semakin kelam dan sempit. Hitam. Gelita.

Balam-balam, Ana melihat Adik. Adik tersenyum. Adik sudah sebesar Ana. Adik peluk Ana. Di hati, Adik berbisik, ‘Baliklah Abang. Lain kali kita jumpa lagi. Adik sayang Abang. Adik sayang Umi.”

Adik pun hilang. Ana buka mata. Dunia terang kembali. Putih. Cerah. Walid ada di sisi. Walid menangis. Kakak dan abang juga. Tetapi Umi tiada. Ke mana Umi?

Kata orang, Umi gila meroyan. Ana tidak tahu apa itu meroyan. Suatu hari nanti mungkin Ana akan tahu. Orang kata lagi, Umi sudah ada tanda-tanda itu selepas melahirkan Ana dan kembar Ana meninggal dalam kandungan. Umi tidak dapat menerima takdir kehilangan Adik.

Umi pendam perasaan. Walid tidak menyedari emosi Umi terluka, malah tindakan Walid menambah parah luka Umi. Sehinggalah suatu hari, luka itu menguak dan darah menyerbu keluar. Umi mengamuk!

Jiran yang jauh bersyukur kerana abang dan kakak menangis meluru ke rumah mereka. Mereka bergegas ke rumah dan mendapati Umi cuba mengelar leher Ana. Mereka dapat selamatkan Ana daripada menjadi mangsa amuk Umi.

Orang bercakap-cakap. Mereka tidak sedar Ana memahaminya. Mereka musykil mengapa Umi yang penyayang bertindak sebegitu. Hanya Ana yang berkongsi rasa, mengetahui kisah sebenar ini.

Kini, Umi tidak seperti Umi lagi. Dan Walid, tidak seperti Walid dulu lagi. Walid sudah insaf. Setiap malam, sewaktu menguliti Ana, Walid meluahkan kesalnya.

“Ikbal, Umimu tidak bersalah. Walid yang bersalah. Jangan berdendam kepada Umimu, ya sayang! Moga-moga Umimu di hospital akan pulih suatu hari nanti.”

Ana tidak pernah berdendam dengan Walid dan Umi. Ana juga belajar memaafkan Walid yang mahu menjadi Walid yang baik.

Ana tidak salahkan Umi. Ana sayang Umi, meskipun Umi sudah jauh dan tidak mengenali anak-anaknya lagi. Sayang Ana kepada Umi seperti kepada Adik. Meskipun, Adik sudah jauh dan Umi dikurung di hospital, Ana, Adik dan Umi seperti satu.

Benarlah, Kami berkongsi perasaan. Hanya Kami mengetahui.

TAMAT

Cerpan Islam

Posted in :: Novel & Cerpan :: on Mac 23, 2009 by alumnimatmiiumbatch

ikh9

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.

“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.

kaabah

“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.

“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,”
cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”

“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”

Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.

“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

“Tapi bang………..”

“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”

pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya..

“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.

“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap kurang mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah belum tamat belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk segera bekerja , belum sempat melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak bekerja awal. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak mula mencari pekerjaan.

“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja pula. Kerja yang halal, bukannya yang haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.

“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja. Kau tak  tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja di tempat tak tentu arah, nanti bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”

“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang ke atau mana ke tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.

“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena, Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.

“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”

“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja.

Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.

“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.

“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.

“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”

“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita naik Haji tahun ni, nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

family1

“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.

“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya..” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut nama anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.

“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”

“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”

“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.

“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”

“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya, kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.

“Abah ni…… ke situ pulak….”

“Habis tu?”

“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.

“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”

“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”

“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.

“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”

“Hah! Awak dengar tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.

“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.

“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”

“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.

“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.

“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.

“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”

“Err…… tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.

“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.

“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.

“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.

“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.

“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.

Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”

+++++++++ tamat ++++++++++