Archive for the :: Nabi & Para Sahabat :: Category

Kematian Zaid lambang kepahlawanan Islam terbilang

Posted in :: Nabi & Para Sahabat :: on Mac 26, 2009 by alumnimatmiiumbatch

ZAID Ibnu Khatthab! Pasti anda pernah mendengarnya! Ia abang kandung kepada Umar Ibnul Khattab.

Zaid seorang pahlawan ternama. Seorang pendiam, namun terpancar wajah kepahlawanannya, keimanannya kepada Allah dan Rasul-Nya serta kepada agamanya.

Ia keimanan yang teguh. Beliau tidak pernah ketinggalan daripada Rasulullah SAW dalam setiap kejadian penting, mahupun peperangan. Di setiap pertempuran niatnya dipatrikan menang atau syahid.

Ketika Perang Uhud, ketika pertempuran menjadi-jadi antara orang musyrik dan orang Mukmin, Zaid menebas dan memukul. Ia terlihat adiknya Umar ketika baju besinya terlepas ke bawah, hingga ia berada dalam kedudukan yang mudah dijangkau musuh.

Maka seru Umar: “Hai Zaid, ambil lekas baju besiku, pakailah untuk berperang!” Zaid menjawab: “Aku juga menginginkan syahid, seperti mana kau inginkan hati Umar!” Dan ia terus bertempur tanpa baju besi secara mati-matian dan dengan keberanian yang luar biasa.

Kita katakan Zaid dengan semangat berkobar-kobar ingin sekali mendapatkan Rajjal Unfuwah , dengan maksud menghabiskan nyawanya yang keji itu dengan tangannya sendiri. Mengikut pandangan Zaid, bukan ia seorang murtad, bahkan lebih daripada itu, ia juga seorang pembohong, munafik dan pemecah-belah.

Rijjal murtad bukanlah kerana dibawa oleh kesedarannya, tetapi kerana mengharapkan keuntungan dengan kemunafikan dan pembohongan yang terkutuk. Zaid dalam kebenciannya pada kemunafikan dan kebohongan adalah dengan saudaranya Umar.

Tidak ada lebih membangkitkan kejijikan dan mengobarkan kemarahannya seperti kemunafikan dan pembohongan dengan tujuan hina dan maksud yang rendah ini.

Bagi kepentingan tujuan yang rendah itulah, Rajjal memainkan peranan berbuat dosa, menyebabkan bertambahnya jumlah golongan bergabung dengan Musailamah secara menyolok. Dan dengan ini sebenarnya ia menyeret sebahagian besar orang kepada kematian dan kebinasaan dengan menemui ajal mereka di medan perang murtad kelak.

Mula-mula disesatkan mereka, kemudian dibinasakan. Untuk tujuan apa? Untuk tujuan sifat tamak dan tercela mempengaruhi dirinya dan dibangkitkan hawa nafsunya.

Maka Zaid mempersiapkan dirinya menyempurnakan keimanannya dengan menumpas bahaya fitnah ini, bukan terhadap peribadi Musailamah, malah lebih-lebih lagi terhadap seorang yang lebih berbahaya daripadanya dan lebih berat dosanya, iaitu Rajjal.

Saat pertempuran Yamamah bermula dengan keadaan suram dan amat mengkhuatirkan. Khalid Walid menghimpun bala tentera Islam, lalu dibahagikan tugas untuk menempatkan beberapa kedudukan dan diserahkannya panji kepada seseorang. Siapakah dia? Tiada lain daripada Zaid.

Dia memusatkan serangannya ke arah Rajjal. Diceroboh saja barisan seperti panah lepas dari busurnya, terus mencari Rajjal sampai kelihatan olehnya bayangan orang buruannya itu. Sekarang ia maju lagi menerjang ke kiri dan kanan. Dan setiap bayangan orang buruannya itu ditelan gelombang manusia yang bertempur.

Zaid berjaya membunuh Rijjal dengan pedangnya dan berakhirlah riwayat pembohongan dan pengkhianat itu. Dengan itu bermulalah tokoh yang lain. Musailamah memberi janji indah dengan kemenangan mutlak kepada pengikutnya, dan ia bersama Rajjal dan Muhkam bin Thufail selepas kemenangan itu, akan membawa mereka ke masa depan gemilang dengan menebarkan agama dan membina kerajaan mereka.

Demikianlah Zaid Ibnul Khattab menyebabkan kehancuran mutlak dalam barisan Musailamah. Zaid mengangkat kedua tangannya ke langit dan dengan rendah hati memohon kepada Tuhannya serta bersyukur atas bantuan nikmat-Nya.

Zaid seorang yang tinggi dan mudah dikenal dari jauh. Tetapi belum sampai Umar bersusah payah mencarinya, seorang antara kaum Muslimin kembali, mendekatinya dan menyampaikan berita atas gugurnya Zaid. Berkatalah Umar: “Rahmat Allah bagi Zaid. Ia mendahuluiku dengan dua kebaikan. Ia masuk Islam lebih dulu. Dan ia syahid lebih dulu pula.”

Sungguh, kerinduan membawa bau wanginya Zaid daripada nama baiknya dan budinya yang tinggi! Bahkan, seandainya Amirul Mukminin mengizinkan, akan kutambahkan ke dalam pantunnya yang indah itu, beberapa kalimat yang akan melengkapi kemegahan tersebut, demikian bunyinya: “Setiap angin kemenangan Islam berhembus, semenjak peristiwa Yamamah, akan tercium selalu oleh Islam bau wanginya Zahid, pengorbanan Zaid… kepahlawanan Zaid dan kebesaran Zaid.”

Keluarga al-Khattab diberi berkat di bawah naungan bendera Rasulullah SAW. Mereka mendapat berkat pada hari mereka menganut Islam, diberi berkat ketika berjihad dan syahid serta diberkati pada hari dia dibangkitkan kelak.

Advertisements

Menutup Keaiban

Posted in :: Nabi & Para Sahabat :: on Mac 26, 2009 by alumnimatmiiumbatch


posted by alumni matm (IIUM BATCH)

Seorang lelaki secara termengah-mengah datang menghadap Umar. Mukanya merah padam dan suaranya bergegar manakala ia bercerita, “Wahai,Amirul Mukminin. Saya melihat dengan mata kepala sendiri pemuda Fulan dan pemudi Fulanah berpelukan dengan mesra di belakang pohon kurma.”

Laki-laki itu berharap Umar akan memanggil kedua pemuda-pemudi yang asyik masyuk itu dan memerintahkan orang suruhannya supaya mendera mereka dengan cemeti.Ternyata tidak. Umar menggenggam leher baju laki-laki itu. Sambil memukulnya dengan gagang pedang, Umar mengherdik, “Kenapa engkau tidak menutupi kejelekan mereka dan berusaha agar mereka bertaubat?Tidakkah engkau ingat akan sabda Rasulullah, `Siapa yang menutupi aib saudaranya, Allah akan menutupi keburukannya di dunia dan akhirat’.”

Dalam fikiran Umar, bila kedua muda-mudi itu dimalukan di tengah orang ramai, boleh jadi mereka akan nekad lantaran tidak tahu kemana hendak menyembunyikan diri. Bukanlah sarang maksiat yang lebih parah akan mengurung mereka dalam dosa berketerusan?

Pada kali yang lain, seorang Muslim diseret ke hadapannya kerana mengerjakan suatu dosa yang patut menerima hukuman sebat. Tiga orang saksi telah mengemukakan pernyataan yang membuktikan kesalahan lelaki Muslim itu. Tinggal seorang lagi yang merupakan penentuan,apakah hukuman dera harus dijatuhkan atau dibebaskan.

Ketika saksi keempat itu diajukan, Umar berkata, “Aku menunggu seorang hamba beriman yang semoga Allah tidak akan mengungkapkan kejelekan sesama Muslim dengan kesaksiannya.”

Dengan lega saksi keempat itu menyatakan, “Saya tidak melihat suatu kesalahan yang menyebabkan lelaki itu wajib dihukum sebat.”
Umar pun menarik nafas lega.

Pendamping setia Nabi Musa

Posted in :: Nabi & Para Sahabat :: on Mac 26, 2009 by alumnimatmiiumbatch

posted by alumni matm (IIUM BATCH)

DALAM keluaran yang lalu kita sudah membaca kisah Nabi Musa a.s. yang secara tidak sengaja telah mem-bunuh seorang pengikut Firaun bernama Nafun. Musa kemudian lari menyelamatkan diri daripada buruan tentera Firaun. Semasa bersembunyi itulah suami Masitah (Hizqil) datang menemui Musa dan menyuruh baginda lari meninggalkan Mesir. Hizqil berkata:
“Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu. Sebab itu, keluarlah (dari kota ini), sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu.” (terjemahan Al-Quran surah Al-Qasas ayat 20).


Setelah mendengar kata-kata Hizqil itu, Nabi Musa a.s. terus berjalan menuju ke arah timur negeri Mesir. Akhirnya baginda tiba di negeri Madan. Kebetulan tempat pertama yang ditemuinya ialah suatu kawasan mata air. Di situ banyak terdapat gembala kambing biri-biri sedang memberi minum ternakannya. Mereka saling berebut untuk lebih dahulu memberikan air kepada ternakannya.


Di antara kumpulan gembala kambing biri-biri itu terdapat dua orang gadis sedang berusaha mencegah agar biri-biri ternakan mereka tidak mendekati tempat air itu.

Ketika melihat perbuatan gadis-gadis itu, Nabi Musa a.s. berasa hairan, lantas baginda bertanya: “Mengapakah kamu berdua berbuat begitu?”
Secara serentak gadis-gadis manis itu menjawab:


“Biasanya kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga semua gembala itu memulangkan ternakannya, sedangkan bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut usianya.” (terjemahan Al-Quran surah AI-Qasas ayat 23).
Setelah mendengar kata-kata kedua gadis tersebut, Nabi Musa a.s. terus menolong mereka. Baginda mengiring biri-biri kepunyaan kedua gadis itu ke tempat minuman. Dengan berdesak-desak bersama kumpulan gembala yang lain, akhirnya baginda berjaya memberi minum semua biri-biri milik gadis-gadis itu.


Kedua gadis itu sangat berterima kasih kepada Nabi Musa a.s. Mereka dapat pulang lebih awal daripada biasa. Ayah mereka hairan melihat hal itu. Lantas kedua gadis tersebut menceritakan perihal seorang lelaki muda yang telah menolong mereka Kemudian ayah mereka menyuruh anak sulungnya yang bemama Safura supaya memanggil Nabi Musa a.s.


“Maka datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua gadis itu berjalan malu-malu. Dia berkata, “Bapaku memanggil kamu untuk membalas kebaikanmu memberi minum ternakan kami.” (terjemahan al-Quran surah Al-Qasas ayat 25).


Nabi Musa a.s. menerima pelawaan itu. Baginda berjalan di belakang Safura menuju ke rumah ayahnya. Dalam perjalanan itu angin bertiup agak kencang sehingga kain Safura terselak dan nampak betisnya. Oleh kerana khuatir kepada godaan nafsu maka Nabi Musa meminta agar Safura berjalan di belakangnya. Safura menerima saranan itu dengan senang hati. Setelah tiba di rumah ayah Safura, Nabi Musa a.s. menemui seorang lelaki yang sudah tua dan soleh. Setelah berkenalan maka Nabi Musa a.s. menceritakan kisahnya yang menyebabkan baginda terpaksa merantau ke negeri itu. Orang tua itu bersimpati dengan nasib baginda, lantas berkata:


“Janganlah kamu takut. kamu telah selamat daripada orang-orang zaiim itu.” (terjemahan Al-Quran surah Al-Qasas ayat 25).
Safura pula meminta agar ayahnya mengambil Nabi Musa a.s. sebagai pekerja mereka. Beliau berkata:
“Ya bapaku, ambillah dia sebagai orang yang (bekerja) dengan kita. kerana sesungguhnya orangyang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.”(terJemahanAl-Quran surah Al-Qasas ayat 26).


Ayah Safura setuju dengan saranan anak gadisnya itu. Lantas beliau bertanya Safura mengenai Nabi Musa a.s. Maka Safura menceritakan hal kekuatan Nabi Musa a.s. ketika berdesak-desakan untuk memberi minum ternakan mereka di tempat air itu. Safura juga tidak lupa menceritakan betapa mulia dan beradabnya Nabi Musa a.s. ketika dijemput datang ke rumah mereka. Malah menceritakan juga tentang sikap baginda semasa dalam perjalanan sewaktu kainnya tersingkap oleh tiupan angin kencang itu.
Apabila mendengar cerita itu, ayah Safura semakin yakin kepada Nabi Musa a.s. Beliau setuju mengambil baginda sebagai pekerja malah beliau sangat suka kalau pemuda berhati mulia itu mahu menjadi menantunya. Untukitu ayah Safura berkata:


“Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada kedua anakku ini, dengan syarat bahawa kamu bekerja denganku selama lapan tahun, dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah atas kemahuanmu dan aku tidak hendak memberati (memaksa) mu, dan kamu insyaallah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik.” Nabi Musa a.s. setuju dengan usul itu lalu berkata:


“Itulah perjanjian antara aku dengan kamu. yang mana saja daripada kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tiada tuntutan tambahan atas diriku (lagi) dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan.” (terjemahan Al-Quran surah Al-Qasas ayat 27 o 28).
Maka kahwinlah Nabi Musa a.s. dengan Safura. Dan baginda menepati janjinya untuk bekerja dengan keluarga itu. Baginda sempurnakan tugasnya selama sepuluh tahun dengan ikhlas dan penuh amanah.


Setelah genap sepuluh tahun bermukim di Madyan, maka Nabi Musa a.s. pun berhasrat untuk pulang ke Mesir. Baginda mahu membawa isterinya bersama. Setelah meminta izin daripada mertuanya, maka Nabi Musa a.s. pun bertolaklah menuju Mesir. Mereka dibekalkan beberapa ekor biri-biri yang dihadiahkan oleh ayah Safura.


Nabi Musa a.s. bersama isterinya menuju Mesir melalui semenanjung Sinai. Ketika itu udara sangat dingin. Mereka berjalan menyusuri bukit Tur bahagian barat. Cuaca amat gelap, awan mendung bergumpal-gumpal di angkasa disertai guruh dan kilat sambar-menyambar. Tidak lama kemudian hujan turun dengan lebatnya. Ketika itu Safura sedang sarat mengandung dan hampir akan bersalin.


Melihat keadaan itu, Nabi Musa a.s. berlari-lari untuk mencari api. Baginda menoleh ke kanan dan ke kiri. Tiba-tiba baginda melihat ada cahaya api di atas sebuah bukit yang tinggi. lantas baginda berkata kepada Safura:
“Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api agar kamu dapat menghangatkan badan.” (terjemahan Al-Quran surah Al-Qasas ayat 29).


Nabi Musa a.s. berlari menuju tempat api itu. Ternyata kiranya itulah permulaan tugas untuknya menerima dan menyerukan risalah Allah s.w.t
“Masa tatkala Musa sampai di (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan (nya) pada tempat yang diberkati. dari sebatang pokok kayu: “Ya Musa, sesungguhnya Aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.” (terjemahan Al-Quran surah Al-Qasas ayat 30).


Maka sejak itulah Safura memulai kehidupan baru sebagai pendamping setia Nabi Musa a.s. yang memikul tugas berat sebagai Rasulullah. Pembawa risalah untuk menyeru umat zamannya menuju jalan kebaikan, jalan yang diredai Allah s.w.t. Musa a.s. diurus untuk memerangi Firaun dan kaumnya yang sentiasa berbuat sewenang-wenang dan mengaku dirinya tuhan.
Sesungguhnya Safura adalah pembantu utama Nabi Musa a.s. dalam mendukung tugas risalah yang mulia itu.

Khadijah isteri solehah kekasih Nabi

Posted in :: Nabi & Para Sahabat :: on Mac 26, 2009 by alumnimatmiiumbatch

posted by alumnimatm (IIUM Batch) (putramml)

51dwzdcreol_sl500_aa240_

NABI Muhammad s.a.w adalah contoh dan lambang lelaki Islam sempurna dalam pembentukan hidup berkeluarga.

Dalam sirah pembangunan dakwah dan aturan hidup berlandas Islam yang menjadi perjuangan ketika hayat baginda, ciri-ciri seorang lelaki sempurna itu sudah siap menonjol semenjak awal lagi.


Tidak hairanlah mengapa baginda menjadi pilihan Saidatina Khadijah Khuailid seorang janda dan ahli perniagaan yang kaya-raya jatuh hati untuk berkongsi hidup dengan baginda.

Kerana sifat-sifat rajin bekerja dan amanah yang ada dalam diri baginda Rasulullah, baginda telah dipilih oleh Saidatina Khadijah untuk menguruskan perniagaannya. Di bawah penyelenggaraan Rasulullah perniagaan yang diserahkan kepada baginda telah mendapat keuntungan dan laba yang banyak.


Khadijah yang pada mulanya hanya sekadar percaya terhadap Muhammad, lama-lama berubah menjadi hormat serta kagum, akhirnya jatuh cinta kepadanya, sekalipun umurnya lebih tua daripada Muhammad.
Di atas segala kesempurnaan ini Saidatina Khadijah telah melamar Muhammad. Sewaktu pasangan ini melangsungkan perkahwinan, Muhammad berusia 25 tahun sedangkan Khadijah seorang janda berusia 45 tahun. Tetapi kerana baginda seorang lelaki Islam contoh perkahwinan pasangan ini sejahtera berkekalan.


Sebuah perkahwinan yang amat indah dan ideal sekali, penuh dengan rasa saling menyintai, hormat-menghormati dan percaya mempercayai. Khadijahlah isteri yang paling dicintai Rasulullah. Rasulullah tak pernah kahwin lain selama Khadijah masih hidup.


Dialah wanita pertama yang masuk Islam, ibu kepada semua anak Rasulullah. Dan dialah juga wanita pertama masuk syurga, yang membela Rasulullah dengan sepenuh jiwa raga serta berkorban harta benda demi untuk menegakkan agama Islam yang mulia.


Cinta kasihnya tidak pernah berubah, sentiasa memberikan sokongan walaupun Rasulullah menghadapi tentangan hebat daripada musuh-musuh Islam, sewaktu awal usaha dakwah disebarkan ke seluruh Kota Mekah.
Walaupun ditentang oleh kaumnya sendiri tetapi Rasulullah terus mendapat
simpati dan dampingan penuh kasih sayang daripada isterinya Khadijah.
Sebagai seorang wanita yang kaya-raya, Khadijah tidak pernah tamakkan harta kepunyaannya. Dia bukan sahaja menjadi pendamping Rasulullah yang setia tetapi sanggup berkorban segala harta kepunyaannya demi untuk menyebarkan kerja-kerja dakwah Islam yang diusahakan oleh Rasulullah.
Perbezaan usia tidak pernah menjadi penghalang kebahagiaan rumahtangga pasangan ini. Sebagai isteri seorang Rasulullah, Khadijah terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tanpa berbelah bagi serta penuh setia.


Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul ketika usianya empat puluh tahun. Wahyu pertama yang diterimanya ialah ketika baginda berada di ‘Gua Hira’. Ketika itu wahyu pertama yang diterimanya ialah ayat Ikraq. Dalam keadaan menggigil Rasulullah pulang ke rumah kemudian menyelimutkan dirinya.
Walaupun Khadijah berasa hairan dengan keadaan yang dialami oleh suaminya tetapi dengan penuh kasih sayang dia membantu menyelimutkan suaminya.


Wahyu demi wahyu yang diterima melalui perantaraan Malaikat jibrail telah disebarkan oleh Rasulullah kepada kaumnya. Pada peringkat awalnya ia disampaikan secara bersembunyi-sembunyi selama tiga tahun berturut-turut.


Dan di antara orang-orang yang paling awal dan hampir dengan Rasulullah yang beriman dengan segala seruan dan ajaran yang disampaikan ialah isteri tercintanya Khadijah, sahabatnya Abu Bakar, Ali bin Abi Talib serta Zaid bin Haritsah.


Keempat-empat manusia pertama yang masuk Islam ini menjadi lambang agama Islam sampai hari kiamat. Dan Khadijahlah wanita pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar pula adalah seorang tua yang dalam akal serta pemikirannya lambang dari seorang cendikiawan atau intelek. Ali bin Abi Talib pula adalah wakil golongan muda sedangkan Zaid bin Haritsah pula ialah lambang seorang budak berasal hamba yang menjadi kesayangan Rasulullah.


Itulah asal mula perjuangan Rasulullah menegakkan kebesaran agama Islam. Di sisinya berdiri menyokong ialah seorang isteri, sahabat karib, bapa saudara dan anak angkat kesayangannya.


Perjuangan Rasulullah penuh dengan segala cabaran dan dugaan. Tetapi sebagai seorang isteri berhati mulia Khadijah terus mendampinginya sehingga ke saat-saat terakhir hayatnya.


Perasaan cinta kasih dan pengorbanan sebagai seorang isteri, sahabat dan pendam-pingsetiatidak pernah luntur di hati Khadijah walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan kerana suaminya telah dipilih Allah untuk menjadi penyebar agama mulia.


Sebagai seorang isteri yang menjadi kesayangan Rasulullah, tidak hairanlah kenapa Rasulullah begitu sedih ketika Khadijah meninggal dunia. Sehingga baginda menamakan tahun kematian Khadijah sebagai ‘Tahun Sedih’.
Sudah semestinyalah pekerti Khadijah selaku isteri, ibu dan wanita ini menjadi contoh ikutan wanita Muslimin sejati.

Pemalsuan Fakta Peristiwa Unta: Usaha Jahat Untuk Merendahkan Generasi Sahabat r.a. (01)

Posted in :: Nabi & Para Sahabat :: on Mac 23, 2009 by alumnimatmiiumbatch

Latar Belakang Peristiwa

Saidina Osman r.a. menjadi Khalifah selama 12 tahun di mana pada enam tahun kedua pemerintahannya, umat Islam secara keseluruhan ditimpa dengan satu ujian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sesetengah pihak menggambarkan krisis tersebut sebagai bukti kelemahan pentadbiran Saidina Osman r.a. Gambaran yang seumpama ini berpunca dari kajian yang tidak mendalam terhadap sejarah Khulafa’ al-Rasyidin atau niat yang buruk terhadap para sahabat r.a. Mereka lupa bahawa Saidina Osman r.a. adalah wakil umat Islam di dalam peristiwa perjanjian Hudhaibiah; tugas yang tidak sanggup dipikul oleh Saidina Omar r.a. Beliau juga adalah sahabat yang membiayai pembinaan perigi al-Raumah untuk kegunaan umat Islam. Beliau juga adalah sebahagian sahabat yang membiayai kelengkapan perang bagi orang-orang yang tidak mampu. Di zaman pemerintahannya, beliau berjaya mengumpulkan al-Quran dengan pelbagai qiraat kepada satu mushaf (mushaf Osmani). Beliau juga yang mula-mula menubuhkan tentera laut bagi umat Islam dan berjaya menyeberangi laut Mediterenian membuka pulau Cyprus. Di zamannya umat Islam berada dalam keadaan yang cukup baik dari sudut pencapaian material.

Tetapi satu perkara yang tidak ada di zaman sebelumnya, wujud di zaman Saidina Osman .r.a., iaitu gerakan Saba’iyah yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’. Abdullah bin Saba’ adalah seorang Yahudi yang mempunyai kecerdikan luar biasa. Gerakannya berkembang di zaman pemerintahan Saidina Osman r.a. Gerakan ini berjaya mempengaruhi sebahagian umat Islam pada masa itu terutamanya yang duduk jauh dari pusat pemerintahan Islam, Madinah. Lahirlah sekumpulan pemberontak dari Mesir yang diketuai oleh Ghafiqi al-Harb dan bergabung dengan pemberontak dari Kufah dan Basrah. Mesir, Kufah dan Basrah tidak dapat dikawal oleh Gabenor masing-masing pada ketika itu. Mereka membentuk satu kumpulan pemberontak berjumlah hampir 10,000 orang dan berjaya mengepung rumah Saidina Osman r.a. selama 40 hari. Kepungan itu berakhir dengan pembunuhan Saidina Osman r.a.

Di saat umat Islam masih lagi dalam keadaan bingung, ketua pemberontak, Ghafiqi al-Harb mengambil kesempatan menjadi imam di masjid Nabawi selama lima hari berturut-turut. Satu usaha untuk menempatkan dirinya dan kumpulannya. Sebahagian dari umat Islam mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri. Sebahagian yang lain dipimpin oleh baki 10 sahabat yang dijamin masuk syurga dan baki tentera Badar memujuk Saidina Ali r.a. untuk menjadi Khalifah bagi umat Islam.

Saidina Ali r.a. yang pada mulanya keberatan akhirnya menerima jawatan tersebut setelah diasak oleh permintaan yang bertalu-talu itu. Berlakulah bai’ah. Muhajirin dan Ansar masing-masing diwakili oleh perwakilan mereka untuk memberikan bai’ah.

Isu yang hangat diperkatakan dan menjadi buah mulut umat Islam ketika itu adalah isu qisas terhadap pembunuh-pembunuh Saidina Osman r.a. Tiga orang muslim; Walid bin Uqbah, Said bin al-As dan Marwan bin al-Hakam secara terang-terangan menolak untuk memberikan bai’ah selagi mana Saidina Ali r.a. tidak menjatuhkan hukum qisas ke atas golongan pemberontak. Satu gambaran keadaan berat yang menghantui umat pda masa itu. Manakala yang lain menyerahkan kepada kebijaksanaan Saidina Ali r.a. untuk menyelesaikannya.

Sebelum Peristiwa Unta

Saidina Ali r.a. dibai’ah pada bulan Zulhijjah tahun 35 H. Manakala peristiwa Unta berlaku hanya enam bulan sesudah itu iaitu pada bulan Jamadil Akhir tahun 36 H. Manakala satu lagi peristiwa besar, Siffin berlaku enam bulan selepas peristiwa Unta iaitu pada bulan Muharram tahun 37 H.

Peristiwa Unta adalah peperangan. Kita katakan ia adalah peperangan kerana ada korban nyawa yang bukan sedikit; 10,000 di pihak Saidatina Aisyah r.a. dan 5,000 di pihak Saidina Ali r.a. Tetapi sebahagian penulis dan pengkaji sejarah menamakannya sebagai ‘mauqiah’ yang bermaksud peristiwa dan bukannya ‘harb’ yang bermaksud perang. Ini adalah kecenderungan sebahagian dari penulis sejarah Islam masa kini seperti Dr. Mustafa Hilmi dan Dr. Ibrahim Ali Syaut untuk meletakkan peristiwa tersebut pada kedudukan sebenarnya dan sekaligus menafikan wujudnya niat permusuhan di dalam diri para sahabat r.a. yang membawa kepada perisitiwa tersebut.

Saidina Ali r.a. seorang yang bijak dan mampu membaca kekuatan pemberontak pada masa itu. Menjatuhkan qisas ketika pemberontak berada pada kemuncak kekuatan bukanlah satu yang bijak. Beliau r.a. pernah berkata apabila dicadangkan kepadanya agar dijatuhkan qisas ke atas pembunuh-pembunuh Saidina Osman r.a.: “Wahai saudaraku, aku bukan tidak mengetahui apa yang kamu ketahui itu. Tetapi apa yang aku boleh lakukan kepada satu kaum yang menguasai diri kita dan kita tidak menguasa mereka? Lihatlah hamba-hamba kamu telah berada bersama mereka. Anak bangsa Arab kamu juga telah berdiri teguh di belakang mereka.” Dia r.a. juga berkata: “Tenanglah bersamaku sehingga orang ramai kembali tenang, hati-hati kembali ke tempatnya dan hak-hak dikembalikan.”

Keadaan mesti kembali tenang dahulu dan banyak penjelasan perlu dibuat untuk membuang syubhat yang ada pada pemikiran sebahagian umat Islam pada masa itu dan bai’ah dari negara-negara Islam perlu diambil untuk mengembalikan umat kepada satu pimpinan. Ini sekali gus dapat mematikan penguasaan pemberontak.

Tetapi di masa yang sama Muawiyah r.a. tidak berpandangan begitu. Dia berpendapat bahawa qisas mesti dijatuhkan kerana itulah cara untuk mengembalikan keamanan kepada umat Islam. Kedua-dua pandangan ini diwakili oleh dua sahabat besar dan pimpinan Islam yang besar; Saidina Ali r.a. sebagai Khalifah dan Muawiyah r.a. sebagai Gabenor Syam, Gabenor yang berjaya mengawal penduduk Syam dari terlibat dengan golongan pemberontak. Dengan itu umat Islam berpecah kepada tiga kelompok iaitu kelompok yang bersetuju dengan pandangan Saidina Ali r.a., kelompok yang bersetuju dengan pandangan Muawiyah r.a. dan kelompok berkecuali.

Zubair dan Talhah pada masa itu berusaha untuk menyatukan kembali umat Islam. Apa yang mereka nampak adalah jalan tengah yang akan diredhai oleh kedua-dua kelompok iaitu dengan cara menangkap sebahagian pemberontak yang berada di Basrah. Saidina Ali r.a. sudah tentu akan menjatuhkan hukuman jika sekiranya dapat dibuktikan bahawa pengaruh golongan pemberontak ini sudah lemah. Apabila Saidina Ali r.a. menjatuhkan hukuman qisas, maka Muawiyah akan memberikan bai’ahnya kepada Saidina Ali r.a. Dengan itu umat Islam akan kembali bersatu. Itu adalah ijtihad mereka dan penyebab kepada peristiwa Unta ini. Ini adalah pandangan Dr. Ibrahim Ali Syaut yang kita rasakan amat tepat dengan peribadi kedua-dua sahabat ini dan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam peristiwa Unta.

Mereka memerlukan sokongan orang ramai. Di situlah timbulnya peranan yang dimainkan oleh Saidatina Aisyah r.a. Talhah dan Zubair r.a. mengemukakan pandangan mereka kepada Aisyah r.a. di Mekah. Aisyah r.a. pada ketika itu sedang menunaikan ibadat haji. Aisyah r.a. sebagai salah seorang umahatul mukminin dilihat dapat memainkan peranan mengumpulkan kembali kekuatan umat. Kedudukannya dan sifat peribadinya diharapkan dapat memainkan peranan ini.

Satu tindakan diambil oleh mereka iaitu bergerak ke Basrah dari Mekah untuk misi damai dan perbincangan ini. Sebenarnya cadangan untuk mereka melakukan perbincangan itu adalah juga cadangan sebahagian pemberontak kepada mereka. Tanpa mengetahui niat jahat pemberontak untuk mencetuskan permusuhan di antara mereka dan Khalifah, mereka terus bersama-sama ke Basrah. Pemberontak yang berpura-pura sebagai pengikut mereka pergi lebih jauh dengan menangkap dan memenjarakan Osman bin al-Khafif, Gabenor Basrah pada masa itu. Basrah tunduk di bawah mereka.

Penduduk Basrah dan sebahagian umat Islam yang dari bandar lain bergabung dengan kumpulan Saidatina Aisyah r.a. Ahli sejarah menggambarkan penggabungan itu berjaya dilakukan kerana peribadi Saidatina Aisyah r.a. Beliau r.a. seorang faqih, seorang pemidato dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Mampu mempengaruhi manusia dengan kata-katanya. Satu kitab khas yang pernah ditulis oleh al-Zarkasyi menghimpunkan fatwa-fatwa Aisyah r.a. yang kuat tetapi mencanggahi pandangan ulama’-ulama’ sezaman dengannya adalah di antara bukti kemampuannya untuk berijtihad. Bahkan al-Tobari berkata: “Kalaulah Aisyah r.a. tidak ada di dalam kumpulan Talhah dan Zubair, nescaya kedua-dua mereka tidak akan berjaya mengumpulkan orang ramai dan gerakan mereka tidak akan tersusun.”

Pandangan Orientalis dan Syiah Terhadap Talhah dan Zubair r.a.

Orientalis dan golongan Syiah menggambarkan Talhah r.a. dan Zubair r.a. sebagai dua orang sahabat yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi. Digambarkan bahawa Talhah r.a. ingin menguasai Yaman dan Zubair r.a. ingin menguasai Iraq.

Ini adalah dakwaan yang tidak berasas. Kita sebagai pengikut ahli sunnah wal jamaah sepatutnya meletakkan sahabat r.a. keseluruhannya pada kedudukan tinggi dan mulia. Itulah wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita: “Sahabat-sahabatku seumpama bintang-bintang di langit. Sesiapa yang kamu jadikan sebagai ikutan, nescaya kamu akan mendapat petunjuk.”

Punca dakwaan-dakwaan tersebut adalah kerana mereka meletakkan sahabat-sahabat r.a. sama seperti manusia biasa yang lain. Dikaji sebagai tokoh-tokoh dalam sejarah yang mempunyai sifat-sifat kelemahan sebagai manusia sehingga sampai ke peringkat menafikan ketulusan jiwa dan keikhlasan mereka. Mereka diletakkan sama seperti Ghandi, Abraham Lincoln, Karl Marx, Lenin, Stalin dan tokoh-tokoh yang lain; ada pencapaian hebat yang mereka lakukan di samping ada kesilapan yang boleh dikritik tanpa batas. Sedangkan kita dalam mengkaji kisah-kisah sahabat r.a. tidak akan sekali-kali mengaitkan kesilapan ijtihad mereka dengan ketulusan niat dan keikhlasan mereka dalam mencari redha Allah. Paling jauh kita akan mengatakan bahawa mereka berijtihad dan silap dalam ijtihad. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka mendapat pahala dari ijtihad mereka. Apa yang mereka lakukan hanya kerana ingin menyatukan umat Islam, membersihkan kota Madinah dan masyarakat Islam pada masa itu dari penguasaan pemberontak; niat yang dikongsi bersama dengan semua sahabat r.a. termasuk Saidina Ali r.a. Jadilah seperti apa yang diarahkan oleh Allah kepada kita:

“dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (iaitu Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (Al-Hasyr: 10)

Selain dari prinsip kita di dalam memberikan satu kedudukan yang tinggi kepada sahabat r.a., peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum perisitiwa ini juga menyokong pandangan kita. Talhah r.a. dan Zubair r.a. adalah dua dari 10 sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya adalah di antara sahabat terawal memeluk Islam. Kedua-dua mereka didakwahi oleh Saidina Abu Bakar r.a. 10 sahabat yang dijamin masuk syurga adalah satu kelompok terbaik sesudah para Nabi a.s. Talhah dan Zubair r.a. di antaranya.

Mereka telah bersama Islam untuk satu tempoh yang panjang. Bersama bukan sahaja ketika kegembiraan di peristiwa pembukaan Mekah atau ketika ketika Islam berjaya memerdekakan al-Quds di zaman Saidina Omar r.a.. Juga bukan sahaja ketika empayar Parsi keseluruhannya tumbang setelah pukulan terakhir tentera Islam di bawah pimpinan Saad r.a. Tetapi juga bersama dalam setiap kedukaan; di dalam peperangan Uhud, di dalam peristiwa Hudhaibiah, kisah fitnah Aisyah r.a., peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w., pembunuhan Saidina Omar dan Saidina Osman r.a. dan lain-lain kisah duka. Mereka bersama Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun, bersama Saidina Abu Bakar selama dua tahun, bersama Saidina Omar selama 10 tahun dan bersama Saidina Osman selama 12 tahun. Selama lebih 47 tahun bersama pimpinan-pimpinan Islam di dalam suka dan duka, bersama-sama melakar sejarah dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Sepanjang tempoh ini tidak pernah kedengaran berita atau desas desus pembelotan mereka. Bagaimana pula tiba-tiba ketika Islam di dalam keadaan yang paling lemah ini, ketika semua sahabat r.a. menolak untuk menjadi khalifah, mereka dikatakan mempunyai cita-cita politik tersendiri? Ini adalah dakwaan yang tidak berasas.

Oleh kerana itu, methodologi kita lebih tepat di dalam menafsirkan sejarah. Segala-galanya nampak berkait dengan kemas.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 47 tahun itu, kita nampak satu lagi peristiwa yang melengkapkan tanggapan kita dan menolak tanggapan orientalis dan golongan Syiah adalah peristiwa bai’ah Saidina Ali r.a. Sesudah Saidina Ali r.a. memberikan persetujuan, berlakulah majlis bai’ah sebagaimana yang berlaku pada khalifah-khalifah sebelumnya. Para sahabat r.a. adalah orang-orang yang telus. Siapa yang memberikan bai’ah, dia memberikan bai’ah dalam keadaan sedar dan ikhlas. Sesiapa yang tidak bersetuju, menyatakan ketidaksetujuannya seperti nama-nama yang dituliskan di awal artikel ini.

Orang pertama yang memberikan ba’iah sudah tentulah orang yang penting dan yang paling setia kepada khalifah yang baru ini. Orang pertama ini penting kerana umat Islam akan melihat dan mencontohi mereka. Siapakah orang pertama yang memberikan bai’ah kepada Saidina Ali r.a.? Orientalis dan Syiah tidak suka kita mendedahkan hakikat ini. Orang pertama yang memberikan bai’ah adalah Talhah bin Ubaidillah r.a. Dia naik memberikan bai’ah lalu berkata:

“Kami telah berbincang dan kami redha Ali sebagai khalifah. Wahai umat, berbai’ailah kepadanya. Ada pun tentang pembunuhan Osman, kita katakan bahawa kita serahkan urusannya kepada Allah.”

Orang kedua yang memberikan bai’ah pula adalah Zubair bin Awwam r.a. Dia naik dan mengulangi kata-kata Talhah r.a.

Jadi di manakah kekuatan dakwaan Syiah dan orientalis bahawa mereka mempunyai cita-cita politik?