Syabas Nik Nur Madihah SPM 19A1 1A2

Posted By alumni matm (IIUM Batch) (putramml)

nik-madihah

Saya terharu dan bersyukur mendapat berita Nik Madihah mendapat 19A1 & 1 A2 dalam SPM2008 lalu,  sedang tempat dia membesar dan mengulangkaji adalah di sebuah rumah dan dalam keluarga yang sangat sederhana. Ayahnya bekerja sebagai nelayan, menyewa rumah yang “sempit dan uzur” RM90.00 sebulan seperti dikatakan Utusan Online.

Nik Madihah sendiri menceritakan keadaannya … “Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis… Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik … Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng… Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan… Saya belajar di ruang tamu. Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama… Saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami…   Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng. “

madihah2

“… Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya…” (Nik Nur Madihah)

Pengajaran-pengajaran yang boleh saya simpulkan :

  1. Umat Islam, samada lelaki maupun wanita, mempunyai potensi aqal dan semangat yang hebat ke arah membangunkan umat Islam sekali lagi di akhir zaman ini. Hanya yang tinggal ialah bagaimana mendidik potensi-potensi ini dengan Tarbiyah Islamiyah yang sejati sehingga kita dapat menghasilkan pendakwah-pendakwah yang hebat, sempurna lagi menyeluruh.
  2. Umum berpendapat bahawa anak yang tinggi IQ nya adalah lahir dari ibu bapa yang dari bidang-bidang professional. Namun hakikatnya IQ yang tinggi adalah anugerah Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya. Anugerah IQ boleh dikira sebagai salah satu bentuk rezeki dari Allah. “Siapa yang bertaqwa kepada Allah diberinya jalan keluar. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak dia sangka-sangka. Siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah mencukupkannya …” (Al-Quran).
  3. Tiga rukun tarbiyah yang terpenting ialah Mutarabbi (Nik Madihah), Manhaj (syllabus SPM) dan Murabbi (guru-gurunya). Adapun bangunan, teknologi canggih, strategik planning, SWOT analysis dll adalah alat-alat luaran yang cuba membantu pentarbiyah diri semata-mata. Tanpa kesemua alat-alat tersebut, mungkin akan berlaku kesulitan tetapi tidak mustahil tarbiyah boleh berjaya asalkan Murabbi, Manhaj dan Mutarabbi nya jelas dan hebat. Sebaliknya, tanpa murabbi yang faham dan hebat, tanpa mutarabbi yang bersungguh dan ikhlas dan tanpa manhaj yang salah, pentarbiyahan tidak akan ke mana, walaupun peralatan-peralatan sokongannya canggih dan mahal.
  4. Keberkatan dalam rezeki untuk membesarkan keluarga adalah rukun penting dalam hidup. Saya percaya seorang nelayan seperti Nik Mohd Kamal, ayah kepada Nik Nur Madihah, yang makan berlauk dihari biasa, tetapi “berlauk telur goreng di hari tengkujuh atau ketika bot rosak …” benar-benar mendapatkan rezeki keluarganya dari hasil kerja laut secara halal semata-mata, berbanding dengan banyak bidang profession dan kerja lain di zaman canggih Malaysia Boleh pada hari ini yang sukar melepaskan diri dari riba dan putar belit (gharar).

Syukur kepada Allah swt yang menganugerahkan kejayaan yang menonjol ini. Syabas kepada Nik Nur Madihah diatas anugerah Allah mendapat 19A1 1A2. Hari-hari depannya masih jauh dan mencabar. Kejayaan dalam pelajaran dan SPM bukan satu-satunya kejayaan dalam hidup. Posting saya mengenai kisah malang genius matematik, Sufiah Yusuf : Permata Yang Berkecai jangan dilupakan. Masih banyak kejayaan-kejayaan dalam kehidupan dan perjuangan ini yang mesti dicapai, terutama kejayaan Dakwah Islam, mendapat redha Ilahi dan SyurgaNya. Semoga Allah terus memberi kita kejayaan demi kejayaan untuk umat Islam ini kearah mengagung dan meninggikan KalimatNya di atas mukabumi ini. Ameen.

INILAH RUMAH SAYA

Nik Nur Madihah bersama ibu bapanya Nik Mohd. Kamal Hussien dan Mariani Omar di rumah mereka di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Hafizi Johari

Utusan Online 14 Mac 2009.

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A

KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.

Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.

Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.

Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.

Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.

Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?

Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah.

( Semoga Istiqamah Dalam Perjuangan )

TAHNIAH DAN SYABAS UNTUK ANTI….!!!

2 Respons to “Syabas Nik Nur Madihah SPM 19A1 1A2”

  1. putramml Says:

    Salam…tahniah dan syabas kepada adik Nur Madihah. Semoga kejayaan yg dikecapi berterusan hingga ke akhir hayat.Sentiasalah ingat bahawasanya adik akan menjadi role model bagi JILuL Arifin (GENERASI BIJAK PANDAI) akan datang…!!! amin

    senyum sokmo…!!!🙂

  2. salam.. beres sek kito blako-lako..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: